Tuesday, July 6, 2010

Segera runtuhkan keegoan Israel

Bumi Palestin terus menangis apabila flotila pembebasan Gaza yang membawa bantuan kemanusiaan terus disekat Israel. Terbaru, kapal MV Rachel Corrie yang disertai sekumpulan sukarelawan pro-Palestin telah ditawan secara ‘aman’ oleh armada tentera laut Israel. Sikap angkuh dan biadap rejim Israel ini terbukti kerana mereka sebelum ini telah menawan kapal Mavi Marmara yang mengakibatkan 9 orang sukarelawan terbunuh dan lebih 30 orang lagi cedera.


Rakyat Palestin diibaratkan hidup di penjara terbuka kawalan Israel yang menyaksikan setiap usaha membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza sentiasa gagal. Jalan darat terus disekat, tiada laluan udara dan perairan Gaza terus dipantau rejim zionis.


Serangan rejim Israel baru-baru ini telah membawa masyarakat seluruh dunia tanpa mengira bangsa dan agama turun ke jalan raya mengecam dan memprotes sekeras-kerasnya tindakan biadap mereka itu.


Situasi getir ini juga mendorong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Liga Arab mengadakan sidang tergempar. Namun tiada resolusi bertindak yang tegas sehingga sekarang.


Dalam perkembangan lain, pemimpin utama dunia termasuk Malaysia turut mengecam sekeras-kerasnya tindakan kejam Israel tersebut kerana telah mencabuli undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia.


Justeru, Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN) mendesak kerajaan Malaysia mengambil tindakan tegas terhadap jenayah yang dilakukan Israel. Usul tergempar di Parlimen harus membawa tindakan mengheret rejim Israel ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa untuk menuntut keadilan 9 orang sukarelawan yang telah terbunuh.


MPMN juga mendesak Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bertindak lebih agresif dan proaktif terhadap jenayah terbaru yang dilakukan Israel seterusnya meminta sekutu kuat rejim Yahudi itu, Amerika Syarikat tidak membenarkan ketidakadilan dan pencabulan hak asasi manusia berterusan rejim Israel terhadap Palestin.


Selain itu, kita berharap kerajaan Mesir terus membuka pintu sempadan Rafah yang memisahkan Gaza dan Mesir bagi memastikan usaha bantuan kemanusiaan daripada seluruh dunia dapat dibawa masuk dengan mudah.


MPMN juga menyeru mahasiswa dan masyarakat seluruh dunia bersatu hati dan berdiri diatas paksi keamanan sejagat untuk terus memberikan tekanan terhadap rejim Israel dan menyatakan pendirian tegas membenci sebarang bentuk kezaliman dan penindasan.



Mohd Fadzil Jamal

Timb. Pengerusi Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN)

No comments:

Post a Comment