Friday, August 13, 2010

Kerajaan tetap larang mahasiswa berpolitik

Kuala Lumpur, 13 Ogos - Kerajaan tetap melarang mahasiswa terlibat dengan parti politik, kata Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Walaubagaimanapun, katanya keputusan itu tidak menghalang mahasiswa mengetahui dan mengikuti perkembangan politik di negara ini.

"Ini kerana Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) pindaan 2009 sudah memadai apabila mahasiswa boleh terlibat dengan kegiatan politik sekiranya mendapat kebenaran Naib Canselor" katanya kepada media kelmarin.

Keputusan ini telah mendapat reaksi pelbagai pihak terutamanya pemimpin mahasiswa sendiri.

Timbalan Pengerusi Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN), Mohd Fadzil Jamal berkata keputusan ini sangat mengecewakan kerana mahasiswa telah lama menunggu perubahan positif terhadap landskap politik tanah air.

"Keputusan ini juga membantutkan proses mematangkan demokrasi di Malaysia sekaligus menutup ruang kepada mahasiswa menjana kepimpinan di kampus yang kita sedia maklumi mahasiswa merupakan barisan pelapis kepimpinan negara pada masa akan datang," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Mohd Shazni Munir Mohd Ithnin berkata keputusan yang diambil oleh kerajaan disifatkan sebagai "tidak matang".

"Kami kecewa dengan keputusan kabinet yang tidak membina mahasiswa, sebaliknya lebih membunuh semangat mahasiswa," katanya.

Wednesday, August 11, 2010

Kenyataan Media MPMN : Benarkan Mahasiswa Menjadi Ahli Parti Politik

Kenyataan Media

Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN)

9 Ogos 2010 (Isnin)

BENARKAN MAHASISWA MENJADI AHLI PARTI POLITIK


Pendahuluan

Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) pindaan 2009 memperlihatkan ruang lingkup partisipasi mahasiswa dengan politik masih terbatas. Mahasiswa masih lagi dihadkan memberikan idea dan pandangan tentang isu-isu politik negara serta terlibat secara sah dengan parti politik semasa di kampus.

Baru-baru ini, timbul isu yang hangat dibincangkan di media-media dan di kalangan masyarakat adalah membenarkan mahasiswa menjadi ahli parti politik. Justeru, segelintir pemimpin kerajaan tampil memberikan pelbagai respon terhadap isu ini. Ada di kalangan mereka yang melontarkan respon yang positif dan ada juga yang memberikan pandang sisi negatif.

Oleh itu, Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN) tampil untuk memberikan pendirian terhadap isu ini yang secara jelas perlu diberikan perhatian yang serius oleh kerajaan.


Pendirian MPMN

Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN) berpendirian :

1. Sudah tiba masanya, kerajaan membenarkan mahasiswa berpolitik sebagai proses mematangkan demokrasi di Malaysia dan menjamin hak-hak yang termaktub di dalam perlembagaan persekutuan.

2. Kerajaan harus terbuka dan ikhlas memberikan ruang kepada mahasiswa menjana kepimpinan diri di alam kampus sekiranya mahu melihat barisan pelapis kepimpinan negara pada masa akan datang berkualiti dan berktrampilan tinggi.

3. Mendesak kerajaan pimpinan Dato’ Seri Najib Tun Razak membuat kenyataan terbuka kepada umum sekiranya isu membenarkan mahasiswa berpolitik diterima sebulat suara ahli kabinet kerajaan Malaysia.

Kami, pimpinan mahasiswa MPMN akan terus komited dan konsisten dalam memperjuangkan suara mahasiswa. Kami akan terus membawa suara mahasiswa sampai kepada para pemimpin kerajaan. Sesungguhnya, proses demokrasi di Malaysia harus segera diberikan nafas baru demi melahirkan generasi kepimpinan negara yang berkualiti, berilmu dan berktrampilan untuk menerajui negara pada masa akan datang.


Di sediakan oleh,

MAJLIS PERWAKILAN MAHASISWA NASIONAL (MPMN)