Tuesday, October 19, 2010

MPMN: Cegah Sosial, bukan 'Menyelamat'

19 Okt, Kuala Lumpur: Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN) menggesa agar pihak kerajaan mengambil berat akan masalah sosial yang semakin membarah dikalangan masyarakat di Malaysia terutama golongan remaja. Begitu juga yang dilihat di kampus-kampus Negara. Anak muda merupakan asset bernilai di masa hadapan namun tidak ada satu pelaksanaan serius untuk membanteras dan mencegah gejala sosial ini.

Masalah pembuangan bayi yang dapat dilihat diserata tempat dan daerah di Malaysia ini menunjukkan bahawa masyarakat sebenarnya tidak ambil peduli dan tidak cakna dengan keadaan yang berlaku di sekelilingnya. Permasalahannya bukanlah bermula selepas bayi dibuang akan tetapi mesti dilihat kepada masalah akarnya iaitu perbuatan sumbang mahram, zina dan sebagainya yang menyumbang kepada masalah tersebut.

“Sangat mendukacitakan sekali apabila setiap hari kita mendengar kes buang bayi ini di dada-dada akbar. Namun, tidak ada satu langkah pencegahan yang diperkasakan daripada awal atau akar permasalahan.”

Menurut Setiausaha MPMN, Siti Zuraini bt Mohd Jenan, pelaksanaan yang dijalankan oleh kerajaan untuk mewujudkan sekolah mengandung bukanlah kaedah atau penyelesaian yang terbaik sedangkan gejala sosial remaja tidak diendahkan. Katanya di dalam sidang media, seharusnya kerajaan mahupun NGO-NGO yang ada perlu melihat kepada masalah utama dan mencari penyelesaian daripadanya.

“Hanya dengan didikan agama dan moral sahaja yang dapat menyelamatkan generasi muda sekarang. Kita tidak mahu proses ‘menyelamat’ dengan mewujudkan sekolah mengandung, tetapi remaja kini memerlukan proses pencegahan sebelum terjadinya sesuatu perkara yang buruk.” Tambahnya lagi.

Sebagai satu badan mahasiswa di kampus nasional, MPMN menyarankan kepada seluruh mahasiswa supaya menjadikan isu ini sebagai satu kebimbangan yang sangat berat kerana titik tolak kepada sebuah Negara itu adalah generasi mudanya. Maka, mahasiswa perlu lebih banyak turun kepada masyarakat dan anak-anak di sekolah dengan pelbagai modul dan aktiviti sihat supaya generasi baru harapan ummah dapat dilahirkan.

No comments:

Post a Comment