Friday, August 13, 2010

Kerajaan tetap larang mahasiswa berpolitik

Kuala Lumpur, 13 Ogos - Kerajaan tetap melarang mahasiswa terlibat dengan parti politik, kata Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Walaubagaimanapun, katanya keputusan itu tidak menghalang mahasiswa mengetahui dan mengikuti perkembangan politik di negara ini.

"Ini kerana Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) pindaan 2009 sudah memadai apabila mahasiswa boleh terlibat dengan kegiatan politik sekiranya mendapat kebenaran Naib Canselor" katanya kepada media kelmarin.

Keputusan ini telah mendapat reaksi pelbagai pihak terutamanya pemimpin mahasiswa sendiri.

Timbalan Pengerusi Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN), Mohd Fadzil Jamal berkata keputusan ini sangat mengecewakan kerana mahasiswa telah lama menunggu perubahan positif terhadap landskap politik tanah air.

"Keputusan ini juga membantutkan proses mematangkan demokrasi di Malaysia sekaligus menutup ruang kepada mahasiswa menjana kepimpinan di kampus yang kita sedia maklumi mahasiswa merupakan barisan pelapis kepimpinan negara pada masa akan datang," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Mohd Shazni Munir Mohd Ithnin berkata keputusan yang diambil oleh kerajaan disifatkan sebagai "tidak matang".

"Kami kecewa dengan keputusan kabinet yang tidak membina mahasiswa, sebaliknya lebih membunuh semangat mahasiswa," katanya.

No comments:

Post a Comment