Thursday, July 15, 2010

18 universiti terima penarafan cemerlang

Kuala Lumpur, 15 Julai 2010 - Tujuh institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan 11 institusi pengajian tingg (IPTS) di negara ini menerima pengiktirafan cemerlang atau Tier Lima menerusi Sistem Penarafan Institusi Pengajian Tinggi (SETARA) yang dikendalikan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Bagaimanapun, masih tiada IPT mencapai Tahap Terbilang atau Tier Enam, iaitu peringkat paling baik, kerana tidak menepati kriteria ditetapkan MQA.

Penarafan itu dilakukan setiap dua tahun bermula 2007, bagi mengukur kedudukan IPT awam dan swasta dalam usaha kerajaan meningkatkan taraf institusi pendidikan tinggi negara ke peringkat antarabangsa.

Pengerusi MPMN, Muhammad Syafiq Aziz berkata keputusan ini sudah pasti menggembirakan semua warga kampus yang berkenaan selepas bekerja keras dalam sesi penilaian yang dilakukan oleh MQA.

Sementara itu, Timb. Pengerusi MPMN, Mohd Fadzil Jamal berpandangan setiap warga kampus samada pihak pentadbiran dan mahasiswa harus mengetahui perkara ini agar menjadi motivasi dan inspirasi untuk terus cemerlang pada penilaian yang akan datang.

Pada 2007, hanya Universiti Malaya (UM) menerima Tahap Cemerlang dan UM mengekalkan kedudukan itu pada SETARA 2009.

Pada 2009 pula menyaksikan 11 IPT awam dan 14 IPT swasta menduduki Tier Keempat, iaitu Tahap Sangat Baik, manakala empat IPT menduduki Tier Tiga atau Tahap Baik. Tiada IPT disenaraikan pada kedudukan Tier Dua (Memuaskan) dan Tier Satu (Lemah).

Pada SETARA 2009 ini juga terdapat 11 IPT tidak dapat diberi penarafan disebabkan pelbagai faktor seperti baru ditubuhkan, tidak menawarkan program ijazah pertama, tiada pelajar tahun akhir atau belum menghasilkan graduan.


Wednesday, July 7, 2010

Selamat Menempuh Alam Kampus!

Oleh : Mohd Fadzil Jamal*

Pendahuluan

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua mahasiswa baru IPTA dan IPTS sesi akademik yang baru bagi kampus seluruh negara. Sekalung penghargaan dan tahniah kerana berjaya menempatkan diri ke menara gading.

Alam kampus baru bermula. Harapan menggunung tinggi daripada ibubapa dan keluarga tergalas di bahu masing-masing untuk berjaya dalam pengajian kelak. Mahasiswa baru perlu bersedia menempuh cabaran dalam menimba ilmu pada masa kini yang penuh dengan liku-liku berduri.


Mahasiswa dan Perjuangan Menuntut Ilmu

Sukarno pernah berkata “ Berikan aku sepuluh orang pemuda, nescaya aku akan goncangkan dunia”. Madah motivasi ini perlu tersemat di dalam sanubari setiap mahasiswa yang juga golongan muda untuk memacu potensi diri kearah kecemerlangan dalam kehidupan. Sosok tubuh orang muda kaya dengan idea dan inovasi baru perlu selari dengan ilmu di dada agar memenuhi tuntutan menuntut ilmu.

Penggalian dan kembara ilmu di menara gading perlu dijadikan matlamat utama bagi setiap mahasiswa. Antara ilmu-ilmu yang perlu menjadi fokus golongan mahasiswa hari ini untuk diterokai adalah sejarah dan tamadun, teknologi maklumat, ekonomi, undang-undang dan perlembagaan, politik dan sebagainya.

Ilmu yang dikutip di bilik-bilik kuliah perlu juga ditambah dengan ilmu-ilmu tambahan seperti kemahiran berpersatuan, kegiatan khidmat masyarakat, kemahiran komunikasi dan sebagainya agar menjadi nilai tambah kepada pembangunan diri. Sudah pasti lambakan anasir negatif abad moden ini akan menjadi tembok penghalang impian tersebut. Budaya tradisi 3K di kalangan mahasiswa iaitu kuliah, kafe dan katil tidak harus dijadikan amalan seharian sekiranya mahu menjadi mahasiswa yang benar-benar berjaya dan berkualiti.


Mahasiswa sebagai “Jurubicara Ummah”

Dalam menjadi insan terpilih menjengah gerbang ilmu perlu dimanfaatkan sebaiknya oleh mahasiswa agar menyumbang dalam pembangunan ummah bertamadun. Mahasiswa perlu kembali kepada title yang sudah sebati dengan diri mereka sebagai jurubicara ummah. Masyarakat sivil di luar sana menanti kehadiran golongan intelektual seperti mahasiswa untuk menabur bakti dan mencurah ilmu kepada mereka.

Mengungkap kata-kata Bapak Mohd Natsir seorang cendekiawan Indonesia iaitu “Bisa ada percetakan yang mampu mencetak pemimpin, pemimpin tidak lahir dari bilik kuliah, tetapi tumbuh sendiri dalam hempas pulas kancah, muncul di kalangan rakan seangkatan lalu diterima dan di dokong oleh umat”. Nah, sudah pasti mahasiswa yang ingin menjadi seorang pemimpin yang matang perlu berada di tengah-tengah masyarakat untuk memimpin mereka.

Dalam kamus gerakan mahasiswa era 70-an pernah terlakar apabila mahasiswa memimpin rakyat dalam Peristiwa Baling 1974 yang menyaksikan perjuangan pada waktu itu adalah menuntut keadilan sosial. Mahasiswa juga benar-benar berfungsi menjadi ‘check and balance’kepada kerajaan dengan lantang meyuarakan pendapat di samping konsisten memperjuangkan nasib rakyat. Semangat dan idealisme perjuangan ini lah yang perlu dijadikan teladan untuk menjadi seorang mahasiswa yang benar-benar matang dan berkualiti.


Penutup

Segulung ijazah pada hari ini tidak bermakna sekiranya mahasiswa tidak mempersiapkan diri dengan ilmu untuk memimpin masyarakat. Lambakan kebobrokan sosial yang melanda golongan remaja perlu menjadi tanggungjawab mahasiswa untuk ditangani dengan segera. Justeru, mahasiswa disaran memanfaatkan peluang menimba ilmu dan pengalaman di kampus untuk menyumbang kearah pembangunan agama, bangsa dan negara.


* Penulis merupakan Timb. Pengerusi MPMN

Tuesday, July 6, 2010

Segera runtuhkan keegoan Israel

Bumi Palestin terus menangis apabila flotila pembebasan Gaza yang membawa bantuan kemanusiaan terus disekat Israel. Terbaru, kapal MV Rachel Corrie yang disertai sekumpulan sukarelawan pro-Palestin telah ditawan secara ‘aman’ oleh armada tentera laut Israel. Sikap angkuh dan biadap rejim Israel ini terbukti kerana mereka sebelum ini telah menawan kapal Mavi Marmara yang mengakibatkan 9 orang sukarelawan terbunuh dan lebih 30 orang lagi cedera.


Rakyat Palestin diibaratkan hidup di penjara terbuka kawalan Israel yang menyaksikan setiap usaha membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza sentiasa gagal. Jalan darat terus disekat, tiada laluan udara dan perairan Gaza terus dipantau rejim zionis.


Serangan rejim Israel baru-baru ini telah membawa masyarakat seluruh dunia tanpa mengira bangsa dan agama turun ke jalan raya mengecam dan memprotes sekeras-kerasnya tindakan biadap mereka itu.


Situasi getir ini juga mendorong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Liga Arab mengadakan sidang tergempar. Namun tiada resolusi bertindak yang tegas sehingga sekarang.


Dalam perkembangan lain, pemimpin utama dunia termasuk Malaysia turut mengecam sekeras-kerasnya tindakan kejam Israel tersebut kerana telah mencabuli undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia.


Justeru, Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN) mendesak kerajaan Malaysia mengambil tindakan tegas terhadap jenayah yang dilakukan Israel. Usul tergempar di Parlimen harus membawa tindakan mengheret rejim Israel ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa untuk menuntut keadilan 9 orang sukarelawan yang telah terbunuh.


MPMN juga mendesak Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bertindak lebih agresif dan proaktif terhadap jenayah terbaru yang dilakukan Israel seterusnya meminta sekutu kuat rejim Yahudi itu, Amerika Syarikat tidak membenarkan ketidakadilan dan pencabulan hak asasi manusia berterusan rejim Israel terhadap Palestin.


Selain itu, kita berharap kerajaan Mesir terus membuka pintu sempadan Rafah yang memisahkan Gaza dan Mesir bagi memastikan usaha bantuan kemanusiaan daripada seluruh dunia dapat dibawa masuk dengan mudah.


MPMN juga menyeru mahasiswa dan masyarakat seluruh dunia bersatu hati dan berdiri diatas paksi keamanan sejagat untuk terus memberikan tekanan terhadap rejim Israel dan menyatakan pendirian tegas membenci sebarang bentuk kezaliman dan penindasan.



Mohd Fadzil Jamal

Timb. Pengerusi Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN)

Malaysia akan 'muflis' pemimpin berwibawa

Baru-baru ini empat mahasiswa UKM telah dikenakan tindakan di bawah Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) kerana dituduh melanggar undang-undang universiti. Arahan itu telah dikeluarkan oleh pihak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) susulan setelah mereka ditangkap oleh pihak polis di Hulu Selangor ketika Pilihanraya kecil berlangsung di sana.

Oleh itu, Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN) telah membantah keras terhadap tindakan yang tidak bertanggungjawab dan bertentangan dengan norma demokrasi yang telah diamalkan di negara kita. Sebagai mahasiswa, mereka berhak berada di mana sahaja dan bebas untuk menyuarakan hak mereka.

Tindakan yang dikeluarkan oleh pihak universiti itu jelas melanggar hak kebebasan bersuara di negara ini. Pihak Universiti harus sedar mahasiswa ialah aset dan agen perubah kepada kepimpinan negara, ini dilihat sebagai salah satu latihan sebelum menceburkan diri selepas keluar dari menara gading kelak. Jika mahasiswa disekat pemikiran dan perjuangan mereka, sudah pasti negara akan lumpuh dan ‘muflis’ kepimpinan yang berwibawa suatu hari nanti.

Mereka tertuduh juga merupakan mahasiswa jurusan Sains Politik dan semestinya mereka perlu turun kelapangan untuk menyaksikan sendiri suasana politik Malaysia lagi-lagi ketika pilihanraya sedang berlangsung. Ini ialah salah satu praktikal dan latihan bagi mereka selaku mahasiswa jurusan Sains Politik. Mengapa pihak universiti perlu mengenakan tindakan tersebut? Hal ini jelas pihak pentadbiran Universiti menafikan hak kebebasan akademik. Sehubungan itu, MPMN menggesa pihak Universiti menarik balik tindakan yang telah dikenakan ke atas mereka dan memuji tindakan mahasiswa yang mempraktikkan hak demokrasi.

MPMN juga akan terus memperjuangkan kes tersebut dengan segenap rupa dan cara untuk membela dan memperjuangkan hak mereka. Pihak universiti jangan cuba untuk memperbodoh dan menakut-nakutkan mahasiswa dengan tindakan yang telah dikeluarkan. Pihak Universiti seharusnya bertindak lebih profesional dalam kes ini. mereka tertuduh ialah Hilman Idham, Ismail Aminudin, Azlin Shafina adzha dan Woon King Chai. Mereka akan dihadapkan ke Mahkamah Universiti pada 2 dan 3 Jun 2010. pihak MPMN mengharapkan dan menyeru kepada gerakan-gerakan kampus, NGO, ahli politik dan indvidu agar terus membela dan memperjuangkan mahasiswa yang jelas telah dicabuli hak mereka oleh pihak Universiti.


MUHAMMAD SYAFIQ BIN A. AZIZ

Pengerusi Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN)

APCO : Keghairahan kerajaan dan kerisauan rakyat

Pendedahan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 30 Mac lalu berhubung peranan badan perhubungan komunikasi antarabangsa yang bernama APCO Worldwide dengan kerajaan Malaysia pimpinan Datuk seri Najib Razak telah menimbulkan kegelisahan di kalangan rakyat sekaligus telah mencalarkan imej Malaysia di luar negara.

APCO yang dikaitkan dengan rejim zionis Israel itu dikatakan berperanan menjayakan program untuk mempromosi dan meningkatkan imej Malaysia di luar negara. Dari sudut pandang positif, usaha ini dapat menarik pelabur asing ke dalam negara tetapi kita mempertikaikan tindakan kerajaan menggunakan sebuah syarikat yang jelas mempunyai kaitan dengan golongan Yahudi yang sememangnya menjadi musuh umat Islam.

Di laporkan usaha kerajaan mengambil khidmat Sayarikat APCO ini telah menelan hampir 20 juta. Untuk rekod, APCO pernah berperanan membaiki imej pemimpin dunia yang amat buruk dari segi penyalahgunaan kuasa, rasuah dan mempunyai rekod buruk dalam hak asasi manusia seperti Sani Abacha (diktator Nigeria).

Kita di peringkat mahasiswa sangat kecewa dengan berita yang menggemparkan ini kerana ia berkait dengan soal prinsip, maruah dan keselamatan negara. Apa tidaknya, Malaysia yang gah diwar-warkan sebuah negara Islam sanggup bekerjasama dengan alat rejim zionis Israel yang nyata mempunyai kebencian terhadap umat Islam dan telah menghenyak serta menyembelih sauadara Islam kita di Palestin. Keselamatan negara juga dalam keadaan membimbangkan kerana dikhuatiri maklumat strategik negara bocor ke tangan rejim zionis Israel ini.

Kita juga mempersoalkan wang rakyat digunakan sewenang-wenangnya tanpa memikirkan nasib rakyat yang sepatutnya berautoriti mendapat manfaat daripada kerajaan. Ramai di luar sana seperti golongan miskin dan mahasiswa harus dibantu untuk meningkat taraf hidup mereka. Sebagai contoh wang 20 juta itu boleh dirancang untuk diagihkan kepada golongan miskin secara berperingkat. Selain itu, wang tersebut boleh dijadikan biasiswa kepada mahasiswa terpilih untuk membangunkan modal insan yang nyata memberi manfaat kepada negara.

Walaupun kerajaan telah mengumumkan untuk membatalkan perjanjian dengan syarikat APCO ini, Pendana Menteri pimpinan Datuk Seri Najib harus mewakili kerajaan menjelaskan kepada rakyat untuk menjawab segala persoalan berkaitan isu ini dan segera memperbaiki imej Negara yang telah tercalar di luar negara.

Justeru, kita berharap tiada lagi kerjasama di antara Malaysia dengan rejim zionis Israel ini. Usaha yang telah menimbulkan kerisauan dan kebimbangan rakyat negara ini bukan dari segi aspek keselamatan negara sahaja malah membabitkan tadbir urus kerajaan yang tidak berintegriti, telus dan amanah.


Mohd Fadzil Jamal
Timb. Pengerusi Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN)