Wednesday, July 7, 2010

Selamat Menempuh Alam Kampus!

Oleh : Mohd Fadzil Jamal*

Pendahuluan

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua mahasiswa baru IPTA dan IPTS sesi akademik yang baru bagi kampus seluruh negara. Sekalung penghargaan dan tahniah kerana berjaya menempatkan diri ke menara gading.

Alam kampus baru bermula. Harapan menggunung tinggi daripada ibubapa dan keluarga tergalas di bahu masing-masing untuk berjaya dalam pengajian kelak. Mahasiswa baru perlu bersedia menempuh cabaran dalam menimba ilmu pada masa kini yang penuh dengan liku-liku berduri.


Mahasiswa dan Perjuangan Menuntut Ilmu

Sukarno pernah berkata “ Berikan aku sepuluh orang pemuda, nescaya aku akan goncangkan dunia”. Madah motivasi ini perlu tersemat di dalam sanubari setiap mahasiswa yang juga golongan muda untuk memacu potensi diri kearah kecemerlangan dalam kehidupan. Sosok tubuh orang muda kaya dengan idea dan inovasi baru perlu selari dengan ilmu di dada agar memenuhi tuntutan menuntut ilmu.

Penggalian dan kembara ilmu di menara gading perlu dijadikan matlamat utama bagi setiap mahasiswa. Antara ilmu-ilmu yang perlu menjadi fokus golongan mahasiswa hari ini untuk diterokai adalah sejarah dan tamadun, teknologi maklumat, ekonomi, undang-undang dan perlembagaan, politik dan sebagainya.

Ilmu yang dikutip di bilik-bilik kuliah perlu juga ditambah dengan ilmu-ilmu tambahan seperti kemahiran berpersatuan, kegiatan khidmat masyarakat, kemahiran komunikasi dan sebagainya agar menjadi nilai tambah kepada pembangunan diri. Sudah pasti lambakan anasir negatif abad moden ini akan menjadi tembok penghalang impian tersebut. Budaya tradisi 3K di kalangan mahasiswa iaitu kuliah, kafe dan katil tidak harus dijadikan amalan seharian sekiranya mahu menjadi mahasiswa yang benar-benar berjaya dan berkualiti.


Mahasiswa sebagai “Jurubicara Ummah”

Dalam menjadi insan terpilih menjengah gerbang ilmu perlu dimanfaatkan sebaiknya oleh mahasiswa agar menyumbang dalam pembangunan ummah bertamadun. Mahasiswa perlu kembali kepada title yang sudah sebati dengan diri mereka sebagai jurubicara ummah. Masyarakat sivil di luar sana menanti kehadiran golongan intelektual seperti mahasiswa untuk menabur bakti dan mencurah ilmu kepada mereka.

Mengungkap kata-kata Bapak Mohd Natsir seorang cendekiawan Indonesia iaitu “Bisa ada percetakan yang mampu mencetak pemimpin, pemimpin tidak lahir dari bilik kuliah, tetapi tumbuh sendiri dalam hempas pulas kancah, muncul di kalangan rakan seangkatan lalu diterima dan di dokong oleh umat”. Nah, sudah pasti mahasiswa yang ingin menjadi seorang pemimpin yang matang perlu berada di tengah-tengah masyarakat untuk memimpin mereka.

Dalam kamus gerakan mahasiswa era 70-an pernah terlakar apabila mahasiswa memimpin rakyat dalam Peristiwa Baling 1974 yang menyaksikan perjuangan pada waktu itu adalah menuntut keadilan sosial. Mahasiswa juga benar-benar berfungsi menjadi ‘check and balance’kepada kerajaan dengan lantang meyuarakan pendapat di samping konsisten memperjuangkan nasib rakyat. Semangat dan idealisme perjuangan ini lah yang perlu dijadikan teladan untuk menjadi seorang mahasiswa yang benar-benar matang dan berkualiti.


Penutup

Segulung ijazah pada hari ini tidak bermakna sekiranya mahasiswa tidak mempersiapkan diri dengan ilmu untuk memimpin masyarakat. Lambakan kebobrokan sosial yang melanda golongan remaja perlu menjadi tanggungjawab mahasiswa untuk ditangani dengan segera. Justeru, mahasiswa disaran memanfaatkan peluang menimba ilmu dan pengalaman di kampus untuk menyumbang kearah pembangunan agama, bangsa dan negara.


* Penulis merupakan Timb. Pengerusi MPMN

No comments:

Post a Comment